Friday, September 26, 2008

Tarbiah Ramadhan


Allah s.w.t telah mengurniakan satu bulan di mana ketibaannya amat dinanti-nantikan, berada di dalamnya terasa tenteram dan tenang,setelah pemergiannya ditangisi bahkan bagaikan merasa suatu kehilangan yang besar. Bulan yang dimaksudkan adalah Ramadhan al-mubarak iaitu bulan yang banyak dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan keistimewaan serta kelebihan-kelebihan yang tidak terdapat pada bulan yang lain. Dalam bulan ini Allah menyeru kepada hamba-hambaNya untuk mempergandakan lagi ibadah tambahan selain dari ibadah fardhu yang sudah diprogramkan seperti solat 5 waktu sehari semalam .Tujuannya supaya mereka dapat merebut ganjaran pahala yang besar dan berpeluang mengambil manfaat daripadanya ramadhan itu kerana dibukakan pintu rahmat seluas-luasnya.

Galakan dan latihan mengerjakan ibadah-ibadah tambahan akan diiringi dengan ganjaran pahala yang banyak dan ianya juga adalah merupakan pentarbiahan secara langsung dari Allah Ta’ala. Tujuannya agar manusia dapat melazimkan diri mereka dengan amalan sunat setelah pemergian ramadhan itu nanti. Selama 29 atau 30 hari kita berpeluang untuk membentuk serta ‘mengislah’ keperibadian agar dapat mencapai tahap ketaqwaan dan keimanan tinggi disisi Maha pencipta. Bahkan bertuahnya kita kerana di bulan ini setiap tindakan dan perilaku tidak lagi didalangi oleh syaitan laknatullah yang sering membisikkan kehati kita agar senantiasa melakukan kemaksiatan kepada Allah s.w.t.

Perkara utama yang perlu ditarbiah adalah hati kita sendiri. Hatilah tempat bersarangnya segala penyakit jiwa, kerana jika hati kita baik maka baiklah akhlak kita, jika hati kita buruk maka buruklah ahklak kita. Lantaran itu didiklah hati kita dengan kesabaran yakni kesabaran dalam melaksanakan ibadah puasa. Sesungguhnya dengan sifat-sifat sabar sahaja yang boleh menjamin kesempurnaan orang-orang menunaikan puasa bulan ramadhan. Sebagaimana sabda nabi:

Moga-moga kesabaran dalam menlaksanakan perintah Allah swt mampu dipraktikkan dan diamalkan setelah berlalunya ramadhan. Sebagai ganjaran kepada kesabaran itu Allah swt telah berfirman dalam surah An-Nahl ayat 96:

Dalam usaha membaik pulih keperibadian, kita pasti bersua dengan ‘mehnah-mehnah’ kerana selain daripada mendidik hati secara tidak langsung kita bermujahadah dengan hawa nafsu yang sering dijadikan ‘I’lah‘ setiapkali kita menjalani ibadah puasa. Sesungguhnya mujahaddah itu amat pahit dan perit lantaran nafsu yang cuba ditentang adalah sebahagian dari diri kita sendiri. Apa yang dikehendaki oleh nafsu itu sama seperti kemahuan kita. Maka beruntunglah bagi mereka yang berjaya menundukkan nafsu dengan mujahaddah di bulan ini.

Selain daripada itu ramadhan juga dapat mendidik jiwa agar kita melakukan ibadah-ibadah sunat supaya kita dapat ‘mentaqarrubkan’ diri kepada Allah Ta’ala. Pelbagai amalan-amalan tambahan yang disarankan bagi menampung kekurangan puasa kita di siang hari antaranya mengadakan solat sunat terawih selepas solat fardhu isya’. Manakala disepertiga malamnya disyorkan untuk bangun untuk mengerjakan ‘qiamual lail’. Allah menganjurkan kepada umatnya supaya melakukan ibadah-ibadah tambahan bukan untuk membebankan malahan disebaliknya tersembunyi pelbagai hikmah. Sebenarnya di sinilah rahsia kekuatan dan kecemerlangan umat islam sejak zaman berzaman. Semakin kurang melelapkan mata diwaktu malam semakin gagah berjuang di siang hari. Tanpa menghiraukan rengekan-rengekan perut semakin mereka mara menentang musuh Allah ta’ala dan mengecapi kejayaan yang gemilang. Sejarah telah membuktikan kemenangan tentera islam dalam peperangan seperti Perang Badar serta pembebasan Palestin dari cengkaman Yahudi yang diterajui oleh Solahuddin al-Ayubi. Begitulah kehebatan umat islam yang bersatu padu pada zaman itu,namun kekuatan itu belum muncul dewasa ini.

Apa yang pastinya umat islam kini hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa menjiwai kehadiran ramadhan itu secara hakiki. Memandangkan masyarakat kita terlalu sibuk memikirkan juadah yang sesuai untuk berbuka kerana mendendami perut setelah sepanjang hari berlapar. Tanpa kita sedari saudara seaqidah kita berbuka puasa dengan suasana ledakan bom di sana -sini serta linangan air mata akibat peperangan dan sebagainya. Begitu berbeza suasana ramadhan dahulu dan sekarang. Betapa kualiti kita tidak sehebat umat silam walaupun kuantiti umat islam sekarang mampu mengerunkan pihak musuh.

Sesungguhnya mukmin yang merasa kemanisan iman dalam ramadhan akan merasa sedih untuk membiarkan ianya berlalu tanpa memenuhi bekalan sebanyak-banyaknya. Berbahagialah mereka yang dapat menunaikan tuntutan ramadhan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt agar dapat mengecapi darjat orang yang bertaqwa. Sebaliknya amat rugi dan kecewalah mereka yang tidak dapat menepati tuntutan dan semangat ramadhan sebagai bulan tarbiah langsung kerana tidak memberi apa-apa makna pada kita.

0 comments: